Jika anda seorang yang suka makan coklat,
tentu anda juga mempunyai jenama pilihan anda sendiri, jenis coklat
tertentu dan rasa yang tertentu. Tetapi adakah anda sekadar makan coklat
atau pun benar-benar menikmati coklat ? Bagaimana cara anda makan
coklat anda sehingga anda merasa kenikmatannya. Apakah rasa yang anda
cari atau harapkan dari coklat yang anda makan itu ?
Untuk menjadikan seni makan coklat ini menjadi satu kenikmatan yang
memberi kesan kepada perasaan, cuba anda jawab dulu soalan-soalan
berikut..
- Apakah yang anda rasa bila masukkan coklat ke dalam mulut?
- Berapa lama masa diambil untuk anda dapat merasa coklat itu?
- Apakah perasaan anda sebelum memakan coklat itu? Adakah anda gembira, ceria, sedih atau merasa selesa?
- Apakah kesan/perubahan ketara perasaan anda setelah memakan coklat itu?
Seni makan coklat melibatkan kesemua 5 deria kita :
- Mata - Lihat coklat pilihan anda, buat penilaian tentang teksturnya, permukaannya sepatutnya licin dan berkilat tanpa ada garisan putih atau kelabu diatasnya. Bukannya warna yang berwarna warni, coklat yang berwarna-warni adalah coklat putih yang diwarnakan dengan pewarna tiruan semata-mata. Banyak pewarna tiruan diperlukan untuk mewarnakan coklat terutamanya coklat yang berwarna terang seperti merah, unggu, hijau dan lain-lain.
- Sentuhan - Adalah ianya lembut atau keras? Melekit, kasar atau halus? Ranggup atau rapuh? Tentunya coklat perlu berada dalam keadaan sejuk. Mengenal pasti karektor coklat akan membantu anda lebih mengenali kualit coklat lain pada masa akan datang. Lagi licin teksturnya, lagi terasa coklatnya di dalam mulut nanti. Lagi halus partikel coklat itu, lagi sedap aromanya.
- Dengar - Macam mana nak dengar bunyi coklat? He..he.bukanlah coklat itu keluarkan suara, nanti terus tak jad makan pulak. Cuba patahkan coklat anda, adalah ianya mudah dipatahkan, kemas kesan patahannya atau kasar kesannya. Jika usaha nak patahkan coklat itu mudah, tandanya keseimbangan antara lemak koko dan koko adalah baik.
- Bau - 90% dari rasa adalah bau. Deria bau kita boleh menghidu aroma atau wap tanpa mengira ianya bentuk pepejal atau cecair. Cuba anda perhatikan, makanan akan terasa tawar/tiada rasa bila kita selesema atau hidung tersumbat, hinggakan kita hilang selera makan. Bau atau aroma dari makanan atau minuman mempunyai 2 perjalanan ke otak kita. Bila kita hidu sesuatu dengan tujuan nak mengambil baunya, aroma itu akan bergerak dari hidung ke sistem olfaktori diatas, bila kita merasanya, aroma yang sama akan bergerak melalui jalan yang sama dari belakang mulut yang dipanggil ‘retro-nassal’ menuju ke organ pengesan yang sama. Bau koko yang baik akan mengingatkan kita dengan produk semulajadi seperti buah, bunga, dusun atau rempah. Coklat yang baunya seperti asab/disalai disebabkan proses pengeringannya yang tidak baik, bau berkulat disebabkan cara penyimpanan yang tidak betul.
- Rasa - Bila merasa sesuatu coklat, ambil/gigit sedikit (Tentunya baca Bismillah dahulu ya..) letak di lidah, kunyah sedikit sahaja dan berhenti. Tutup mulut, biarkan coklat itu mencair dan mengeluarkan semua perasanya. Pastikan coklat itu berselerak dalam mulut anda, dengan cara ini anda akan lebih merasa kenikmatannya. Jika coklat terus mencair di dalam mulut, tanpa kita terasa kasar/berpasir, maka itu tanda coklat itu berkualiti. Coklat yang diproses menjadi lebih halus (extra fine) akan lebih cepat melepaskan perasa coklat berbanding coklat biasa dan tentunya harganya juga agak premium.
Jadi, apakah yang kita harapkan dengan memakan coklat? Jawapannya telah saya terangkan tadi.
- Jika kita mementingkan coklat yang berwarna-warni dan cantik sahaja, maka itu sahajalah yang kita dapat tanpa mengambil kira pewarna tiruan yang telah kita kumpulkan dalam badan selama ini.
- Jika kita hanya melihat kepada harga yang murah sahaja tanpa menilai kualitinya, maka kita akan dihidangkan dengan coklat yang warnanya sahaja coklat, tetapi rasanya berminyak, lambat cair dimulut, kasar, tiada rasa koko dan hanya terasa manisnya sahaja yang lebih, apatah lagi jika menggunakan coklat masakan sahaja untuk membuat coklat.
- Jika kita inginkan kenikmatan dan keseronokan dalam merasa coklat, carilah coklat yang dibuat dari koko yang berkualiti, penuh dengan rasa coklat sejatinya, halus dan terus mencair di dalam mulut, carilah coklat-coklat yang ada ciri-ciri yang saya terangkan tadi, rasa dan buatkan perbandingan serta penilaian sendiri.
Akhir kata, tepuk dada tanya selera kerana rasa itu sangat subjektif
dan berbeza antara satu sama lain. Belajarlah menggunakan 5 deria kita
dalam merasa apa sahaja makanan, Insyaallah kita akan mahir.
Selamat Bercoklat !





No comments:
Post a Comment